13 April 2020 – Menjelang bulan Ramadhan ini, watak Muslimah animasi 3D rekaan Monsta, Yaya menjulang nama negara apabila rancangan Fly With Yaya: Tohoku telah dicalonkan dalam ‘The Newcomer Award’ di Licensing International Excellence Awards 2020 yang berlangsung di Amerika Syarikat. Ia suatu pengiktirafan yang membanggakan kerana Licensing International Excellence Awards telah menjadi penanda aras bagi pencapaian tertinggi dalam industri perlesenan jenama sedunia sejak 35 tahun yang lalu.

 

[ Click here for the English version of this article ]

 

 

Buat julung-julung kalinya seorang watak dari Malaysia dicalonkan untuk anugerah itu, yang pernah dimenangi oleh permainan video online terkenal, Fortnite pada tahun 2019. Fly With Yaya: Tohoku telah dipilih antara 600 penyertaan lain yang terdiri daripada pelbagai syarikat ternama dari 22 buah negara termasuk The Coca-Cola Company, Puma, Shiseido, Mattel, Hasbro, Bandai, The Hershey Company dan banyak lagi.

 


▲ Tonton Episod 1 Fly With Yaya: Tohoku di Monsta YouTube Channel!

 

Monsta mengambil masa selama 2 tahun untuk membina dan memperkukuhkan penjenamaan watak Yaya melalui siri Fly With Yaya sebagai usaha untuk membuktikan bahawa seorang watak Muslimah juga mampu menawan hati penonton dari serata dunia. Pencalonan dalam Licensing International Excellence Awards ini merupakan satu pengiktirafan besar buat Monsta serta menunjukkan bahawa watak-watak Muslim mampu mendapat tempat di media global.

 

 

Fly With Yaya: Tohoku iaitu musim terbaru siri animasi Fly With Yaya merupakan terbitan bersama Monsta dan Creative Minds LLC. (beroperasi di Tokyo, Jepun) serta Yamagata Broadcast and Tohoku Inbound Associations. Rancangan itu mengikuti pengembaraan Yaya (salah seorang watak dari siri animasi Malaysia popular, BoBoiBoy) ke serata dunia sambil mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan mesra Muslim. Sambutan terhadap siri tersebut terbukti sangat menggalakkan dengan jumlah tontonan sebanyak 21 juta kali di Monsta YouTube Network dalam tempoh 13 bulan sahaja.

 


▲ Saksikan treler Fly With Yaya: Tohoku di Monsta YouTube Channel

 

Berikutan kejayaan itu, Monsta merancang untuk menggunakan pendekatan yang sama dalam membangunkan semula industri pelancongan Malaysia yang terkesan akibat wabak COVID-19. Selepas mendapat kepercayaan daripada industri pelancongan Jepun, Monsta lebih yakin bahawa watak-watak mereka sesuai untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan tempatan.

 


▲ Yaya berkunjung ke kawasan kolam air panas di wilayah Yamagata, Tohoku

 

Monsta berharap agar pencalonan Fly With Yaya: Tohoku dalam Licensing International Excellence Awards ini akan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Monsta dan jenama dari Malaysia secara amnya selain mempromosikan destinasi pelancongan mesra Muslim di pasaran global.

 


▲ Ketahui tentng tempat-tempat menarik serta kebudayaan dan tradisi yang unik di daerah Tohoku bersama-sama Yaya

 

Syarikat-syarikat yang terlibat dan komen mereka tentang pencalonan Fly With Yaya: Tohoku

 

Kerajaan Jepun telah bekerjasama dengan para penyiar dan penerbit dari Jepun untuk menghasilkan program yang mengetengahkan tarikan-tarikan dan keindahan Jepun, bersama dengan penerbit-penerbit dan penyiar-penyiar antarabangsa. Saya sangat gembira dengan kejayaan projek ‘Fly With Yaya: Tohoku’ dalam mengembangkan jangkauan termasuk di kalangan generasi muda, menggunakan IP/ watak Malaysia yang terkenal sebagai elemen utama projek ini.”

– Koki Yoshida, Pengarah Promosi Global Program Penyiaran di Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi, Jepun

 

“Saya sangat gembira apabila melihat idea kami untuk menggunakan watak yang berpengaruh (Yaya) untuk mempromosikan industri pelancongan telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Jepun dan dunia perlesenan global. Saya berbangga bahawa Yaya telah terpilih untuk mempromosi rantau Tohoku di Jepun. Pencalonan untuk anugerah ini adalah satu penghormatan buat Malaysia dan Jepun dan kami berharap untuk bekerjasama dengan lebih rapat di masa hadapan.”

– Nizam Razak, CEO Monsta (Animonsta Studios), Malaysia

 

“Kami sangat gembira dengan perlesenan kreatif kami di mana Yaya, seorang watak yang kurang dikenali di Jepun telah berjaya mendapat tajaan untuk mengetengahkan keindahan tersembunyi rantau Tohoku di Jepun. Pasukan kami telah berjaya menghasilkan episod-episod yang menarik dan menyeronokkan. Saya berharap ‘Fly With Yaya’ akan terus menarik minat penonton secara global, di saat dunia kita sedang dilanda pelbagai cabaran ini.”

– Ikuko Kogiso, Presiden Creative Minds LLC

 

“Rantau Tohoku kurang mendapat perhatian selama ini. Kerjasama di antara pelbagai industri ini bermula daripada keinginan kami untuk mempromosi Tohoku. Kami berharap pengaruh Yaya mampu membawa kempen promosi rantau Tohoku ini lebih jauh ke hadapan.”

– Hidekyuki Aoki, Pengurus Jabatan Yamagata Broadcasting

 

“Di samping pelbagai promosi lain yang melibatkan persatuan ini, ‘Fly With Yaya: Tohoku’ telah memberi peluang yang besar kepada orang ramai untuk belajar tentang rantau Tohoku di Jepun. Dengan pengalaman yang ditimba semasa menghasilkan ‘Fly With Yaya: Tohoku’, kami berharap untuk terus mempromosi dan membantu rantau Tohoku. Mari melawat Tohoku!”

– Makoto Endo, Ketua Perwakilan

 


▲ Yaya mencuba sukan ski di pergunungan wilayah Yamagata

 


Gambar-gambar dari siri Fly With Yaya: Tohoku di bawah ▼


 

Mengenai syarikat:

Licensing International
Diasaskan pada tahun 1985, Licensing International berpusat di New York City, Amerika Syarikat dan memiliki cawangan di Australia, China, Jerman, Jepun, Mexico dan United Kingdom, dengan perwakilan-perwakilan di Brazil (Brazilian Licensing Association, ABRAL), Kanada, Perancis, India, Itali dan Rusia. Keahlian Licensing International bersifat global dan mempunyai ahli di 40 buah negara serata dunia.

 

Monsta (Animonsta Studios Sdn. Bhd.) merupakan sebuah syarikat animasi dan harta intelek yang telah menghasilkan siri animasi, filem, serta produk pengguna selama lebih dari satu dekad. Syarikat ini terkenal dengan siri animasi popular mereka, BoBoiBoy, Pesanan Papa Pipi, Fly With Yaya, dan siri animasi terbaru yang akan ditayangkan tidak lama lagi iaitu Mechamato. BoBoiBoy telah menikmati kejayaan besar di Asia dengan lebih 5 Bilion tontonan di YouTube setakat ini.

 

Creative Minds LLC., ialah sebuah syarikat pembangunan perniagaan antarabangsa, perunding, syarikat jualan program dan penerbit yang memanfaatkan sepenuhnya hubungan antarabangsa, kreativiti dan kemahiran komunikasi mereka. Fokus terkini syarikat itu ialah mengembangkan dan membangunkan perniagaan di Asia dan Jepun. Perkembangan kreatif terkini mereka termasuklah penerbitan Fly With Yaya dalam urus janji di antara Malaysia dan Jepun.

 

Yamagata Broadcasting Co., Ltd. (YBC) merupakan stesen TV nombor 1 di daerah Yamagata, rantau Tohoku di Jepun sejak 25 tahun yang lalu. Ia bermula sebagai stesen radio pada tahun 1953 dan memulakan penyiaran TV pada tahun 1960. Ia merupakan sekutu Nippon TV Network.

 

The Tohoku Inbound Association dikhaskan untuk mempromosi rantau Tohoku di Utara Jepun ke luar negara dengan fokus terhadap negara-negara ASEAN yang berhampiran. Persatuan tersebut melaksanakan usaha seperti penerbitan video, pembangunan aplikasi, pengiklanan, dan perancangan / penganjuran acara untuk mempromosikan imej Tohoku.