Cyberjaya, 10 April 2025 ⁠— Monsta, penerbit siri animasi popular Papa Pipi, telah melancarkan mikro-siri khas sempena bulan Ramadan bertajuk Papa Pipi Terpaling Puasa, yang menampilkan 30 episod sepanjang 30 hari berpuasa.

Kempen digital ini mencatatkan kejayaan luar biasa dengan meraih lebih 182 juta tontonan dalam tempoh sebulan di platform digital Monsta seperti YouTube, TikTok dan Instagram — menjadikannya antara kempen Ramadan digital paling berjaya tahun ini, dengan sambutan hangat daripada penonton di Malaysia, Indonesia dan serantau Asia Tenggara.

Papa Pipi Terpaling Puasa bukan sekadar hiburan. Ia turut mengetengahkan situasi harian masyarakat Malaysia sepanjang bulan Ramadan — daripada bangun sahur, keletihan waktu petang, gelagat membeli juadah di bazar, hinggalah ke waktu berbuka. Semua itu dipaparkan dalam bentuk komedi ringan dan mesra keluarga yang dekat dengan realiti harian rakyat.

Papa Pipi cukup sinonim dengan dunia digital, dengan kata-kata Papa Zola yang kerap dikongsi di media sosial menjadikannya antara ikon popular dalam kalangan ibu bapa. Kandungan yang menyentuh isu kekeluargaan, hubungan suami isteri, dan kehidupan harian disampaikan secara lucu dan bersahaja — menjadikannya mudah dekat di hati penonton.

“Sambutan luar biasa ini menjadi pemangkin penting kepada momentum jenama Papa Pipi, sekaligus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh jenama Monsta menjelang pelancaran besar mereka — filem Papa Zola The Movie yang dijadualkan tayangannya pada hujung tahun ini.” kata Ketua Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin.

Untuk tontonan penuh dan kemas kini terkini, ikuti saluran rasmi Monsta di YouTube, TikTok dan Instagram.

By Ekeen.K

Write and draw and build and play and sing and live as only you can.