Cyberjaya, 18 Ogos – Treler terbaru Monsta mendapat sambutan hangat apabila peminat dari Malaysia, Indonesia, India, Jepun, China dan negara-negara lain memenuhi ruangan komen dengan sokongan untuk siri baharu Mechamato, BoBoiBoy dan Papa Zola The Movie. Sambutan ini menunjukkan animasi Monsta semakin mendapat tempat di hati penonton seluruh dunia.

Dalam treler tersebut, Monsta mengumumkan bahawa perjalanan untuk para peminat animasi bakal bermula pada 6 September dengan tayangan Mechamato Musim 4 di YouTube Monsta Channel dan Netflix. Musim ini menampilkan 13 episod dengan cabaran terbesar buat Amato dan MechaBot yang bakal berdepan dengan robot berbahaya dari sebuah penjara angkasa.

Seterusnya, pada 18 Oktober, BoBoiBoy Galaxy Baraju akan dilancarkan dengan enam episod baharu di YouTube Monsta Channel dan Netflix. Siri ini membawa BoBoiBoy ke kancah pergelutan antara dua pihak yang bakal menguji kesetiaan serta ketabahannya. Siri ini adalah susulan arka BoBoiBoy Galaxy Gentar tahun lalu yang mendapat sambutan hangat daripada para peminat.

Kemuncak tahun Monsta untuk para peminat animasi tahun ini akan tiba pada Disember 2025 dengan tayangan Papa Zola The Movie di pawagam seluruh negara, hasil kerjasama Monsta dan Astro Shaw. Promosi filem tersebut turut merangkumi pelbagai tontonan dan aktiviti istimewa seperti Papa Pipi Shorts, kandungan eksklusif di sebalik tabir, kolaborasi bersama jenama-jenama utama, barangan rasmi Monsta dan siri jelajah sekolah.


Bagi mengukuhkan momentum ini, Monsta melancarkan #MonstaHypetrain, satu kempen yang akan menyajikan peminat dengan animasi tanpa henti dari September hingga Disember.

