KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 — BoBoiBoy sekali lagi mendominasi carta #1 di Netflix Malaysia dan Indonesia hanya beberapa hari selepas dua episod BoBoiBoy Galaxy Baraju ditayangkan pada 18 Oktober, menewaskan deretan K-Drama dan anime terkenal. Siri ini turut berada di tangga #1 bagi kategori Top Kids TV Shows di Netflix Singapura dan Vietnam, membuktikan sekali lagi tahap populariti adiwira tempatan Malaysia itu di rantau Asia Tenggara.

Dua episod pertama BoBoiBoy Galaxy Baraju telah mencatat lebih 20 juta tontonan di pelbagai platform media sosial, membuktikan bahawa BoBoiBoy kekal antara francais animasi paling popular dan berpengaruh di Asia Tenggara. Rata-rata peminat dalam dan luar negara memuji kualiti visual animasi tersebut yang kini dikatakan setaraf Hollywood serta jalan cerita yang kekal menarik.“Siri BoBoiBoy Galaxy Baraju bakal menemui para peminat di Vietnam dan India dalam versi alih bahasa tidak lama lagi,” kata Pengarah Media MONSTA, Faiz Zainal Aabidin.



Di bawah gerakan #MonstaHypeTrain, MONSTA bakal meneruskan gelombang animasi dengan pelancaran Papa Zola The Movie pada 11 Disember 2025, di mana watak sampingan kegemaran ramai, Papa Zola, bakal menjadi watak utama, sementara BoBoiBoy pula mengambil peranan sebagai watak sampingan di layar perak.Selepas kejayaan Mechamato Musim 4 dan ketibaan BoBoiBoy Galaxy Baraju, filem Papa Zola The Movie bakal menjadi kemuncak tahun animasi MONSTA.

